SURAH PALING AFDAL

Rasulullah s.a.w bersabda, "Saya ingin memberitahu kamu satu surah yang paling afdal dalam al-Quran. Surah itu adalah surah al-Hamd (al-Fatihah) yang mempunyai tujuh ayat. Ayat-ayat ini adalah Saba' Mathani dan mewakili keseluruhan al-Quran yang agung." Telah diriwayatkan daripada sesetengah ahli sufi bahawa segala yang terkandung dalam kitab-kitab Allah s.w.t. yang terdahulu terdapat dalam al-Quran dan segala isi kandungan al-Quran terdapat dalam surah al-Fatihah dan apa-apa yang terkandung dalam surah al-Fatihah terdapat dalam 'Bismillah' dan apa-apa yang terdapat dalam 'Bismillah' adalah terdapat pada huruf pertama iaitu (ba). Diterangkan dalam tafsiran bahawa huruf (ba) di sini bertugas sebagai penemu, iaitu huruf (ba) memutuskan hubungan seseorang hamba dengan segala perkara lain dan menemukannya dengan Allah s.w.t. Sebahagian ulama menambah lagi keterangan ini dengan pendapat bahawa apa-apa yang terdapat dalam huruf (ba) terkandung dalam titik pada (ba) itu, yakni titik wahdaniah. Dalam istilah tasauf, titik wahdaniah membawa makna sesuatu yang tidak boleh dibahagi-bahagikan lagi.

Sesetengah ulama telah dinukilkan berkata bahawa dalam ayat:


'Akan Dikau kami sembah dan akan Dikau kami minta pertolongan,' terkandung segala hajat dunia mahupun agama. Rasulullah s.a.w. diberitakan telah bersabda dalam satu hadith, "Demi Zat yang nyawaku dalam genggamanNya, satu surah yang seumpama ini tidak pernah diturunkan sama ada dalam Taurat, Injil, Zabur atau bahagian yang lain dalam al-Quran."

Para masyaikh mengatakan bahawa membaca surah al-Fatihah dengan penuh kepercayaan dan keyakinan akan menyembuhkan segala penyakit, sama ada penyakit rohani atau jasmani, penyakit zahir atau batin. Al-Fatihah yang ditulis dan dijadikan sebagai tangkal dan juga menjilat al-Fatihah yang ditulis adalah berfaedah bagi mengubati penyakit. Terdapat dalam 'sihah' (kitab-kitab hadith yang sahih) bahawa para sahabat r.a. pernah membaca surah al-Fatihah dan menghembus ke atas orang yang dipatuk ular atau disengat kala jengking, orang yang terkena sawan dan orang gila dan Rasulullah s.a.w. sendiri mengharuskan perbuatan ini. Dalam satu riwayat diberitakan bahawa Rasulullah s.a.w. pernah membaca surah ini lalu menghembuskan kepada Hazrat Saib bin Yazid r.a. dan Baginda s.a.w. membaca dan menyapu dengan air liurnya pada tempat yang sakit itu. Menurut hadith yang lain dikatakan bahawa sesiapa yang berbaring dengan niat untuk tidur dan membaca surah al-Fatihah serta surah al-Ikhlas kemudian menghembus ke atas dirinya sendiri maka ia akan dijauhkan daripada segala bahaya melainkan maut.

Menurut riwayat yang lain, surah al-Fatihah menyamai pahala membaca dua pertiga daripada al-Quran. Diriwayatkan juga bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, "daku telah diberi empat perkara daripada khazanah 'Arasy yang istimewa. Sebelum ini tiada sesiapa pun yang menerima apa-apa daripada khazanah tersebut. Pertama surah al-Fatihah, kedua ayat al-Kursi, ketiga ayat-ayat akhir daripada surah al-Baqarah dan keempat surah al-Kauthar." Hazrat Hassan Basri rah. meriwayatkan satu sabdaan Rasulullah s.a.w. yang berbunyi, "Seorang yang membaca surah al-Fatihah adalah seumpama seorang yang membaca kitab Taurat, Injil, Zabur dan al-Quran yang mulia." Adalah diriwayatkan dalam sebuah hadith bahawa Iblis meraung-raung sambil melumur seluruh kepalanya dengan debu apabila berlaku empat peristiwa: pertama apabila dia dilaknat, kedua apabila dia dicampak keluar dari syurga ke dunia, ketiga apabila Nabi Muhammad s.a.w. dianugerahkan dengan kenabian dan keempat apabila surah al-Fatihah diturunkan.

Diberitakan daripada Hazrat Sha'abi rah. bahawa pada satu ketika seorang datang kepadanya dan mengadu tentang buah pinggangnya yang sakit. Hazrat Sha'abi rah. menasihatinya supaya membaca 'Asasul-Quran' dan menghembus pada tempat yang sakit. Apabila ditanya apakah makna 'Asasul-Quran'? Hazrah Sha'abi rah. menjawab, "Surah al-Fatihah." Ditulis bahawa antara amalan para masyaikh yang mujarab ialah surah al-Fatihah dan surah ini juga sebagai Ismul A'zam yang sepatutnya dibaca untuk memohon apa-apa hajat. Terdapat dua cara pembacaan surah al-Fatihah. Pertama, membaca surah al-Fatihah di antara solah sunat dan solah fardu subuh sebanyak empat puluh satu kali selama empat puluh hari. Huruf 'mim' dalam Bismillah hendaklah dibaca bersambung dengan 'lam' dalam 'Alhamdulillah'. Segala hajat insyaAllah akan tertunai. Sekiranya menghadapi apa-apa penyakit atau terkena sihir hendaklah membaca surah ini dan dihembuskan ke dalam air lalu diminum.

Cara kedua ialah dengan membaca surah ini sebanyak tujuh puluh kali di antara solah sunat dan fardu subuh pada hari Ahad yang pertama pada permulaan bulan Islam. Pembacaan cara ini tidak perlu disambungkan 'mim' Bismillah dengan 'lam' Alhamdulillah. Selepas itu perlu dibaca pada waktu yang sama dengan bilangan bacaan dikurangkan sebanyak sepuluh kali pada setiap hari sehingga hari yang ke tujuh. Sekiranya hajat seseorang telah tertunai pada bulan pertama maka bertuahlah orang itu. Sekiranya tidak maka hendaklah diulangi dengan melakukan amalan yang sama pada bulan kedua dan ketiga.

Surah ini boleh juga ditulis pada pinggan tembikar dengan menggunakan air mawar yang dicampur kasturi atau zafaran (koma-koma), kemudian tulisan itu dilarutkan dengan air lalu diminum oleh pesakit selama empat puluh hari. Ini adalah cara pengubatan yang mujarap kepada pesakit yang telah lama menderita sesuatu penyakit. Membaca surah ini sebanyak tujuh kali dan menghembus kepada pesakit juga merupakan salah satu cara pengubatan bagi sakit gigi, pening kepala dan sakit perut. (Semua perkara ini secara ringkasnya telah dipetik daripada kitab Mazahirul Haq.)

Dalam kitab Sahih Muslim terdapat satu hadith yang diriwayatkan daripada Hazrat 'Abdullah bin 'Abbas r.anhuma bahawa pada suatu ketika Rasulullah s.a.w. sedang duduk bersama kami. Baginda s.a.w. bersabda, "Di langit telah dibukakan satu pintu yang belum pernah dibuka sebelum ini dan daripada pintu itu turun satu malaikat yang belum pernah diturunkan sebelum ini. Malaikat itu berkata kepadaku, "Terimalah satu berita gembira mengenai dua nur yang belum pernah diberikan kepada sesiapapun sebelum ini, pertama ialah surah al-Fatihah dan kedua ialah tiga ayat terakhir daripada surah al-Baqarah." Kedua-dua ini disebut sebagai nur kerana pada hari kiamat kedua-dua ini akan berada di hadapan pembaca ayat-ayat itu (menerangi jalan mereka)."

No comments:

Post a Comment

Sedikit Pencerahan Tentang Dunia Kita Di Akhir Zaman ini...