NAMA, RUPA DAN HAKIKAT

Setiap perkara mempunyai nama, rupa dan hakikatnya. Satu perkara yang hanya ada nama maka ia tidak akan mendatangkan faedah atau kesan. Jika kita, menyebut api, maka itu bukanlah api, tetapi percakapan tentang api. Percakapan tentang api bukan api dan ianya tidak akan mendatangkan faedah walaupun kita bercakap tentang api berjuta kali. Jika kita lukiskan gambar api, maka itu juga bukan api, tetapi itu adalah rupa api. Rupa api tidak akan memberi kesan panas kepada kita. ianya tidak akan mendatangkan kesan panas kepada sesiapa pun yang menyentuhnya.

Api yang kecil tetapi ianya adalah api, maka ia boleh digunakan untuk membakar kayu api dan seterusnya boleh digunakan untuk memasak makanan atau memanaskan badan. Jika api itu adalah api maka ia mesti merah menyala dan ia mesti panas. Jika ianya hanyalah rupa api, maka ia tidak akan panas dan tidak akan merah menyala dan ianya tidak akan boleh digunakan untuk menyalakan api dapur. Jika ianya hanyalah perkataan api sahaja, maka ianya juga tidak akan dapat digunakan untuk memasak makanan atau memanaskan badan. Perkataan dan rupa tidak mendatangkan faedah sepertimana perkataan api dan rupa api. Kita mesti mendapatkan hakikat api. Kita mesti mendapatkan api yang betul. Api yang betul mesti panas dan boleh digunakan untuk memasak makanan. Jika api itu tidak panas, maka ia adalah bukan api yang betul. Warna atau rupa gula adalah putih. Gula mempunyai rasa yang manis dan jika dimasukkan ia kedalam secawan teh, maka teh itu akan menjadi manis. Jika ‘gula’ itu mempunya rupa seperti gula tetapi ianya tidak manis, maka sudah tentu ianya adalah bukan gula. Ia mungkin kaca atau garam.

Setiap perkara mempunyai nama, rupa dan hakikatnya. Agama juga mempunyai nama, rupa dan hakikatnya. Nama dan rupa agama adalah mudah untuk dilaksanakan, tetapi ianya tidak mempunyai kesan, dan faedah yang telah dijanjikan oleh Allah s.w.t. Kita boleh memberitahu semua manusia bahawa agama kita adalah Islam dan nama kita adalah nama orang Islam, tetapi itu tidak bermakna bahawa kita mempunyai hakikat agama Islam di dalam diri kita. Untuk menzahirkan rupa Islam kita boleh menukar pakaian kita kepada pakaian Islam. Kita boleh melakukannya dengan serta-merta. Tidak perlu mengambil usaha yang lama untuk mengubah rupa kita kepada rupa Islam. Di dalam beberapa minggu kita boleh mempunyai janggut, berserban dan memakai baju jubah yang panjang. Kita akan kelihatan seperti seorang yang beragama. pakaian kita boleh mirip seperti pakaian Nabi s.a.w. Apabila kita boleh bercakap tentang agama, membaca al-Quran dengan baik dan boleh berbahasa Arab, maka kita tentu akan kelihatan seperti orang yang mempunyai agama yang sempurna. Jika orang lain menyangka bahawa kita mempunyai agama tetapi kita sendiri tidak beranggapan begitu maka itu adalah kurang bahaya.

Apa yang lebih bahaya adalah kita telah menyangka bahawa diri kita telah mempunyai agama yang sempurna. Apabila kita mempunyai perasaan seperti ini maka kita tidak akan berusaha lagi untuk membawa hakikat agama yang sebenarnya di dalam diri kita. pakaian, serban dan janggut kita telah membuatkan kita menyangka kita telah ada agama. Pada hakikatnya kita baru mempunyai rupa agama yang sebenarnya belum masuk lagi ke dalam diri kita. Usaha yang menekankan kepada rupa agama dengan memberi kepentingan kepada pakaian, janggut, serban, serta purdah tidak akan boleh bertahan lama. Apabila di landa dengan dugaan atau ujian dari Allah s.w.t. segala rupa agama itu akan hilang dalam sekelip mata. Kita boleh menukar rupa kita kepada rupa agama apabila kita mendengar ceramah agama yang bersemangat. Kita tidak boleh mendapatkan hakikat agama hanya dengan mendengar ceramah agama. Ceramah agama yang bersemangat akan dapat menimbulkan keinginan di dalam diri kita untuk mendapatkan agama.

Untuk hakikat agama datang di dalam kehidupan kita, maka kita perlu melapangkan masa, berkorban diri dan harta untuk membuat kerja agama. Untuk hakikat agama datang di dalam kehidupan, kita perlu membuat kerja agama dengan cara yang betul dan dengan bersungguh-sungguh. Usaha untuk mendapatkan hakikat agama akan mengambil masa puluhan tahun. Hakikat agama tidak akan datang dengan tiba-tiba di dalam beberapa hari. Hakikat agama akan datang perlahan-lahan. Sebelum hakikat agama datang di dalam kehidupan, kita perlu mendapatkan hakikat iman. Untuk mendapatkan hakikat iman, sahabat-sahabat Nabi s.a.w. telah mengambil masa membuat usaha mempertingkatkan iman selama lebih kurang tiga belas tahun. Setelah sahabat nabi s.a.w. mendapat hakikat iman maka barulah hakikat agama datang di dalam kehidupan mereka. Amalan agama yang pertama datang di dalam kehidupan mereka adalah solat.

Walaupun kita ingin untuk membawa agama yang sempurna di dalam kehidupan kita tetapi kita telah lupa untuk berusaha mendapatkan asas agama iaitu hakikat iman atau hakikat kalimah Lailahaillallah. Usaha yang kita buat pada masa ini hanyalah untuk meniupkan keinginan kepada agama, menimbulkan kesedaran bahawa agama itu, penting dan menimbulkan fikir tentang pentingnya iman dan agama. Segala bayan, kuliah, forum, ceramah dan mezakarah yang kita adakan hanyalah untuk maksud ini. Selepas kuliah dan ceramah keinginan dan semangan kepada agama bertambah, tetapi oleh kerana ‘usaha’ tidak dibuat dan masa tidak dilapangkan untuk membuat usaha, maka amalan agama hanya tinggal di dalam semangat, fikir, risau dan keinginan sahaja. Kesan dari kuliah dan ceramah agama yang bersemangat, kita akan mendapat rupa atau bentuk amalan agama tetapi bukan hakikat agama.

Apabila dikatakan mempunyai hakikat hanya apabila amalan agama itu mendatangkan kesan dan faedah kepada yang mengamalkannya. Kesan atau faedah dari amalan agama yang mempunyai hakikat atau ‘roh’ seperti solat ialah solatnya boleh menarik bantuan Allah s.w.t. serta menyelesaikan semua masalah di dunia dan di akhirat. Solat yang mempunyai hakikat akan menyebabkan keinginan untuk melakukan maksiat berkurang. Apabila solat mempunyai hakikat, maka ia akan dapat mencegah kita daripada melakukan dosa dan maksiat. Apabila kita hanya mempunyai rupa amalan agama maka ianya tidak akan memberi faedah kepada kita sepertimana rupa api tidak akan memberi faedah kepada kita sehinggalah rupa api itu bertukar menjadi hakikat. Jikalau rupa amalan agama tidak boleh memberi faedah di dunia, tentulah ianya juga tidak boleh mendatangkan faedah di akhirat.

Apakah faedah solat apabila solat itu ada hakikatnya. Allah s.w.t. berfirman (maknanya):
“Mohonlah pertolongan dengan sabar dan solat. Sesungguhnya itu berat kecuali mereka yang khusyuk hatinya”.
(Al-Baqarah: 45)

Allah s.w.t berfirman lagi (maknanya):
“Sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan keji dan mungkar”.
(Al-Ankabut: 45)



Jika solat kita tidak boleh mendatangkan faedah, sepertimana yang dijanjikan oleh Allah s.w.t. maka solat itu hanyalah rupa sahaja. Ia belum mempunyai hakikatnya. Kita perlu berusaha untuk mendapatkan solat yang dikatakan solat oleh Allah s.w.t. Bersolat sahaja tidak mencukupi. Kita perlu mendapatkan hakikatnya, barulah solat itu memberi kesan dan faedah kepada kita di dunia dan di akhirat.


No comments:

Post a Comment

Sedikit Pencerahan Tentang Dunia Kita Di Akhir Zaman ini...