Adalah penting Al-Quran tidak dibaca dengan nada menyanyi




Hazrat Fudalah bin Ubaid ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, Sesungguhnya perhatian Allah s.w.t. kepada pembaca al-Quran lebih daripada perhatian seorang tuan yang mendengar hamba perempuannya menyanyi. (Hadith riwayat Ibnu Majah, Ibnu Hibban dan Hakim)

Penumpuan perhatian terhadap nyanyian adalah suatu perkara yang fitrah dan menjadi lumrah manusia. Di sebabkan tegahan agama maka orang yang soleh tidak memberi tumpuan terhadap nyanyian. Namun demikian, tidak ada apa-apa tegahan sekiranya penyanyi itu adalah hamba milik sendiri. Oleh kerana itulah, perhatian sepenuhnya diberikan kepada hamba itu. Walau bagaimanapun, adalah penting al-Quran tidak dibaca dengan nada menyanyi. Larangan terhadap perkara ini terdapat dalam hadith-hadith. dalam satu hadith terdapat kenyataan, Jauhilah daripada (membaca al-Quran) dengan rentak para pencinta.

Para ulama mengatakan bahawa pembaca yang membaca sedemikian adalah fasiq dan orang yang mendengar bacaaan sedemikian adalah berdosa. Yang dikehendaki ialah membaca al-Quran dengan suara yang merdu tanpa mengikut kaedah-kaedah nyanyian. Galakan terhadap perkara ini terdapat dalam hadith-hadith di beberapa tempat. Rasulullah s.a.w. pernah bersabda, Hiasilah al-Quran dengan suara yang bagus. Dalam hadith lain Baginda s.a.w. bersabda, Suara yang merdu menggandakan keelokan bacaan al-Quran.

Syaikh Abdul Qadir Jilani rah. menulis dalaam kitabnya Ghuniyyah bahawa pada suatu ketika Hazrat Abdullah bin Mas'ud ra. telah melalui suatu tempat berhampiran dengan Kufah dan melihat satu kumpulan orang fasiq di dalam sebuah rumah. Seorang penyanyi yang bernama Zazan sedang menyanyi dan memainkan biolanya. Apabila Hazrat Abdullah bin Mas'ud ra. mendengar suara Zazan, beliau pun berkata, Alangkan baiknya suara itu jika digunakan untuk membaca al-Quran. Beliau menutup kepalanya dengan kain sambil berlalu dari situ. Zazan telah nampak beliau berkata sesuatu. Apabila dia bertanya kepada orang ramai dia mendapat tahu bahawa orang itu adalah Hazrat Abdullah bin Mas'ud ra. Beliau adalah seorang sahabat Nabi s.a.w. yang telah berkata demikian. Di sebabkan kata-kata tersebut Zazan telah diselubungi perasaan yang tersangat takut. Dipendekkan cerita, dia telah memecahkan semua alat muziknya dan menjadi salah seorang pengikut Hazrat Abdullah bin Mas'ud ra. Kemudian Zazan telah menjadi seorang alim yang terkenal pada zamannya.

Ada banyak hadith yang memuji pembacaan al-Quran dengan suara yang elok tetapi seiringan itu membaca al-Quran dengan nada suara nyanyian adalah dilarang sebagaimana yang telah dinyatakan sebelum ini.

Hazrat Huzaifah ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, Bacalah al-Quran dengan nada Arab, jangan membaca seumpama suara seorang yang mabuk cinta atau seumpama suara orang Yahudi dan Nasrani. Tidak lama lagi akan datang sekumpulan orang yang akan membaca al-Quran dengan sengaja membentuk suara mereka sebagaimana penyanyi-penyanyi dan orang yang meratap sedih. Bacaan yang sedemikian rupa tidak akan memberi sedikit manfaat pun kepada mereka semua. Mereka sendiri akan mendapat kerosakan dan mereka juga akan memasukkan orang yang memuji bacaan mereka kedalam kerosakan.

Hazrat Taus rah. menulis bahawa seorang telah bertanya kepada Rasulullah s.a.w, Siapakah pembaca al-Quran yang terbaik?? Rasulullah menjawab, Seorang yang apabila kamu mendengar bacaannya kamu dapat merasakan bahawa dia adalah seorang yang takut kepada Allah s.w.t, iaitu suaranya menggambarkan rasa penuh ketakutannya kepada Allah s.w.t.

Sungguhpun demikian, Allah s.w.t. begitu pemurah, seseorang itu hanya dibebankan dengan sesuatu yang dia mampu. Ada sebuah hadith mengatakan bahawa Allah s.w.t. mengutus seorang malaikat dengan satu tugas khas, iaitu jika terdapat seseorang yang membaca al-Quran dan tidak mampu membaca sebagaimana tuntutan al-Quran yang sebenar maka malaikat itu akan membawa bacaannya itu naik ke langit selepas mambetulkan bacaan itu. Wahai Allah, aku tidak dapat menghitung segala pujian untukMu.


Petikan dari Kitab FADHiLAT AMAL bab Fadhilat al-Quran m/s 59-61

No comments:

Post a Comment

Sedikit Pencerahan Tentang Dunia Kita Di Akhir Zaman ini...