Hati Al-Quran


Hazrat Ata bin Abi Rabah rah. berkata, telah sampai kepadaku bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, "Sesiapa yang membaca surah Yaasin pada permulaan hari maka segala hajatnya akan dipenuhkan." (Hadith riwayat Darimi)

Kelebihan-kelebihan surah Yaasin juga banyak disebutkan dalam hadith-hadith. Adalah diriwayatkan dalam sebuah hadith,"Segala sesuatu mempunyai hati, dan hati bagi Al-Quran ialah surah Yaasin. Sesiapa membaca surah Yaasin, Allah s.w.t. akan menuliskan pahala baginya seumpama dia membaca seluruh al-Quran sebanyak sepuluh kali."
Menurut sebuah hadith yang lain, Allah s.w.t. membacakan surah Taha dan surah Yaasin seribu tahun sebelum menciptakan langit dan bumi. Apabila para malaikat mendengarkan keadaan ini, mereka berkata, "Bertuahlah umat yang akan diturunkan al-Quran ke atas mereka, bertuahlah hati-hati yang akan memikul al-Quran (yakni yang akan menghafalnya) dan bertuahlah lidah-lidah yang akan membaca al-Quran."

Diriwayatkan dalam satu hadith, "Sesiapa yang membaca surah Yaasin semata-mata kerana Allah s.w.t., segala dosanya yang dahulu akan diampunkan. Oleh itu bacalah surah ini untuk orang yang telah mati."

Mengikut sebuah hadith, dalam kitab Taurat, surah Yaasin dinamakan Mun'imah (pemberi nikmat) kerana surah itu membawa kebaikkan kepada pembaca surah itu dalam kehidupan di dunia dan juga di akhirat, al-Quran juga menghindarkan penderitaan di dunia dan di akhirat dan menjauhkan kedahsyatan dalam kehidupan akhirat.

Surah ini juga dikenali sebagai Rafi'ah Khafidhoh, iaitu yang mengangkat darjat orang beriman dan merendahkan darjat orang kafir. Menurut satu riwayat, Rasulullah s.a.w. bersabda, "Hatiku menghendaki supaya surah Yaassin berada dalam setiap hati umatku." Mengikut sebuah hadith yang lain, jika seseorang itu membaca surah Yaasin pada setiap malam dan kemudiannya mati maka dia akan mati sebagai syahid.

Diriwayatkan daripada hadith yang lain, "Sesiapa yang membaca surah Yaasin maka dosanya akan diampunkan, sesiapa sahaja yang membaca surah ini semasa kelaparan, akan dihilangkan kelaparannya itu, sesiapa membaca surah ini ketika sesat jalan, akan menjumpai semula jalannya, sesiapa membaca surah ini kerana kehilangan binatang kenaikkannya akan menjumpai semula binatangnya itu, dan apabila seseorang itu membaca surah ini kerana bimbangkan makanan tidak cukup maka makanan itu akan mencukupi. Sekiranya seseorang itu membaca surah Yaasin kepada orang yang sedang dalam keadaan nazak maka kesakitan ketika nazaknya akan diringankan. Jika seseorang itu membaca surah ini ke atas wanita yang menghadapi kesukaran semasa melahirkan anak maka akan dimudahkan kelahiran bayinya." Muqri rah. berkata, "Sekiranya surah Yaasin dibaca oleh seseorang yang takutkan pemerintah atau musuh maka ketakutan itu akan hilang." Menurut satu hadith yang lain, jika seseorang membaca surah Yaasin dan surah as-Soffaat pada hari Jumaat dan memohon kepada Allah s.w.t. sesuatu maka doanya akan diterima. (Kebanyakkan bahan yang dinukilkan disini ialah daripada kitab Mazahirul Haq, tetapi sesetengah ulama hadith telah mempersoalkan kesahihan sesetengah daripada riwayat tersebut.)

SURAH PALING AFDAL

Rasulullah s.a.w bersabda, "Saya ingin memberitahu kamu satu surah yang paling afdal dalam al-Quran. Surah itu adalah surah al-Hamd (al-Fatihah) yang mempunyai tujuh ayat. Ayat-ayat ini adalah Saba' Mathani dan mewakili keseluruhan al-Quran yang agung." Telah diriwayatkan daripada sesetengah ahli sufi bahawa segala yang terkandung dalam kitab-kitab Allah s.w.t. yang terdahulu terdapat dalam al-Quran dan segala isi kandungan al-Quran terdapat dalam surah al-Fatihah dan apa-apa yang terkandung dalam surah al-Fatihah terdapat dalam 'Bismillah' dan apa-apa yang terdapat dalam 'Bismillah' adalah terdapat pada huruf pertama iaitu (ba). Diterangkan dalam tafsiran bahawa huruf (ba) di sini bertugas sebagai penemu, iaitu huruf (ba) memutuskan hubungan seseorang hamba dengan segala perkara lain dan menemukannya dengan Allah s.w.t. Sebahagian ulama menambah lagi keterangan ini dengan pendapat bahawa apa-apa yang terdapat dalam huruf (ba) terkandung dalam titik pada (ba) itu, yakni titik wahdaniah. Dalam istilah tasauf, titik wahdaniah membawa makna sesuatu yang tidak boleh dibahagi-bahagikan lagi.

Sesetengah ulama telah dinukilkan berkata bahawa dalam ayat:


'Akan Dikau kami sembah dan akan Dikau kami minta pertolongan,' terkandung segala hajat dunia mahupun agama. Rasulullah s.a.w. diberitakan telah bersabda dalam satu hadith, "Demi Zat yang nyawaku dalam genggamanNya, satu surah yang seumpama ini tidak pernah diturunkan sama ada dalam Taurat, Injil, Zabur atau bahagian yang lain dalam al-Quran."

Para masyaikh mengatakan bahawa membaca surah al-Fatihah dengan penuh kepercayaan dan keyakinan akan menyembuhkan segala penyakit, sama ada penyakit rohani atau jasmani, penyakit zahir atau batin. Al-Fatihah yang ditulis dan dijadikan sebagai tangkal dan juga menjilat al-Fatihah yang ditulis adalah berfaedah bagi mengubati penyakit. Terdapat dalam 'sihah' (kitab-kitab hadith yang sahih) bahawa para sahabat r.a. pernah membaca surah al-Fatihah dan menghembus ke atas orang yang dipatuk ular atau disengat kala jengking, orang yang terkena sawan dan orang gila dan Rasulullah s.a.w. sendiri mengharuskan perbuatan ini. Dalam satu riwayat diberitakan bahawa Rasulullah s.a.w. pernah membaca surah ini lalu menghembuskan kepada Hazrat Saib bin Yazid r.a. dan Baginda s.a.w. membaca dan menyapu dengan air liurnya pada tempat yang sakit itu. Menurut hadith yang lain dikatakan bahawa sesiapa yang berbaring dengan niat untuk tidur dan membaca surah al-Fatihah serta surah al-Ikhlas kemudian menghembus ke atas dirinya sendiri maka ia akan dijauhkan daripada segala bahaya melainkan maut.

Menurut riwayat yang lain, surah al-Fatihah menyamai pahala membaca dua pertiga daripada al-Quran. Diriwayatkan juga bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, "daku telah diberi empat perkara daripada khazanah 'Arasy yang istimewa. Sebelum ini tiada sesiapa pun yang menerima apa-apa daripada khazanah tersebut. Pertama surah al-Fatihah, kedua ayat al-Kursi, ketiga ayat-ayat akhir daripada surah al-Baqarah dan keempat surah al-Kauthar." Hazrat Hassan Basri rah. meriwayatkan satu sabdaan Rasulullah s.a.w. yang berbunyi, "Seorang yang membaca surah al-Fatihah adalah seumpama seorang yang membaca kitab Taurat, Injil, Zabur dan al-Quran yang mulia." Adalah diriwayatkan dalam sebuah hadith bahawa Iblis meraung-raung sambil melumur seluruh kepalanya dengan debu apabila berlaku empat peristiwa: pertama apabila dia dilaknat, kedua apabila dia dicampak keluar dari syurga ke dunia, ketiga apabila Nabi Muhammad s.a.w. dianugerahkan dengan kenabian dan keempat apabila surah al-Fatihah diturunkan.

Diberitakan daripada Hazrat Sha'abi rah. bahawa pada satu ketika seorang datang kepadanya dan mengadu tentang buah pinggangnya yang sakit. Hazrat Sha'abi rah. menasihatinya supaya membaca 'Asasul-Quran' dan menghembus pada tempat yang sakit. Apabila ditanya apakah makna 'Asasul-Quran'? Hazrah Sha'abi rah. menjawab, "Surah al-Fatihah." Ditulis bahawa antara amalan para masyaikh yang mujarab ialah surah al-Fatihah dan surah ini juga sebagai Ismul A'zam yang sepatutnya dibaca untuk memohon apa-apa hajat. Terdapat dua cara pembacaan surah al-Fatihah. Pertama, membaca surah al-Fatihah di antara solah sunat dan solah fardu subuh sebanyak empat puluh satu kali selama empat puluh hari. Huruf 'mim' dalam Bismillah hendaklah dibaca bersambung dengan 'lam' dalam 'Alhamdulillah'. Segala hajat insyaAllah akan tertunai. Sekiranya menghadapi apa-apa penyakit atau terkena sihir hendaklah membaca surah ini dan dihembuskan ke dalam air lalu diminum.

Cara kedua ialah dengan membaca surah ini sebanyak tujuh puluh kali di antara solah sunat dan fardu subuh pada hari Ahad yang pertama pada permulaan bulan Islam. Pembacaan cara ini tidak perlu disambungkan 'mim' Bismillah dengan 'lam' Alhamdulillah. Selepas itu perlu dibaca pada waktu yang sama dengan bilangan bacaan dikurangkan sebanyak sepuluh kali pada setiap hari sehingga hari yang ke tujuh. Sekiranya hajat seseorang telah tertunai pada bulan pertama maka bertuahlah orang itu. Sekiranya tidak maka hendaklah diulangi dengan melakukan amalan yang sama pada bulan kedua dan ketiga.

Surah ini boleh juga ditulis pada pinggan tembikar dengan menggunakan air mawar yang dicampur kasturi atau zafaran (koma-koma), kemudian tulisan itu dilarutkan dengan air lalu diminum oleh pesakit selama empat puluh hari. Ini adalah cara pengubatan yang mujarap kepada pesakit yang telah lama menderita sesuatu penyakit. Membaca surah ini sebanyak tujuh kali dan menghembus kepada pesakit juga merupakan salah satu cara pengubatan bagi sakit gigi, pening kepala dan sakit perut. (Semua perkara ini secara ringkasnya telah dipetik daripada kitab Mazahirul Haq.)

Dalam kitab Sahih Muslim terdapat satu hadith yang diriwayatkan daripada Hazrat 'Abdullah bin 'Abbas r.anhuma bahawa pada suatu ketika Rasulullah s.a.w. sedang duduk bersama kami. Baginda s.a.w. bersabda, "Di langit telah dibukakan satu pintu yang belum pernah dibuka sebelum ini dan daripada pintu itu turun satu malaikat yang belum pernah diturunkan sebelum ini. Malaikat itu berkata kepadaku, "Terimalah satu berita gembira mengenai dua nur yang belum pernah diberikan kepada sesiapapun sebelum ini, pertama ialah surah al-Fatihah dan kedua ialah tiga ayat terakhir daripada surah al-Baqarah." Kedua-dua ini disebut sebagai nur kerana pada hari kiamat kedua-dua ini akan berada di hadapan pembaca ayat-ayat itu (menerangi jalan mereka)."

TIGA PERKARA disukai..

Kisah ini dipetik daripada kitab 'Munabbihat' yang ditulis oleh Hazrat Hafiz Ibnu Hajar rah. Dalam satu majlis semasa bersama-sama dengan para sahabat,
 








Rasulullah s.a.w. bersabda, "Allah s.w.t. menjadikan hatiku menyukai tiga perkara di dunia ini, wangi-wangian, wanita dan solah yang menjadi penyejuk mataku."
 
Hazrat Abu Bakar r.a. berkata, "Segala yang disabda oleh tuan itu benar. Saya juga menyukai tiga perkara, melihat wajah Rasulullah, harta bendaku dibelanjakan untuk Rasulullah s.a.w. dan anak perempuanku dinikahkan dengan Rasulullah s.a.w."
 
Kata Hazrat Umar r.a. "Benar, wahai Abu Bakar saya juga menyukai tiga perkara, iaitu amr bil ma'aruf (menyuruh berbuat baik), nahi 'anil mungkar (mencegah kemungkaran) dan memakai pakaian yang usang."
 
Hazrat 'Uthman r.a. berkata, "Segala yang kamu kata itu benar, wahai Umar, saya juga menyukai tiga perkara iaitu memberi makanan kepada orang yang lapar, memberi pakaian kepada orang yang tidak berpakaian dan membaca al-Quran."
 
Kata Hazrat Ali r.a. "Segala yang dikatakan oleh kamu itu benar wahai 'Uthman, saya juga menyukai tiga perkara melayani tetamu, berpuasa pada hari yang panas dan memancung kepala musuh."
 
Pada ketika itu Hazrat Jibril a.s. muncul lalu berkata, "Saya dihantar oleh Allah s.w.t. supaya memberitahu kamu tiga perkara yang akan saya suka jika saya seorang manusia." Baginda s.a.w. berkata, "Beritahulah," Jibril a.s. berkata, "Memimpin orang yang sesat, mengasihi orang miskin yang soleh dan membantu orang miskin yang mempunyai ramai anak."
 
Hazrat Jibril a.s. berkata lagi, "ALLAH s.w.t. menyukai tiga perkara daripada hambaNya iaitu menggunakan keupayaan diri dan harta pada jalan Allah s.w.t., menangis kerana kesal atas dosa semasa bertaubat dan bersabar semasa ditimpa kesempitan."

SOLAH

Terdapat dalam kitab 'Zadul Ma'ad' yang ditulis oleh Hafiz Ibnu Qayyim rah. bahawa solah mendatangkan rezeki, memelihara kesihatan, menjauhkan penyakit, mencekalkan hati, menyerikan dan mencantikkan wajah, menenangkan jiwa, mencergaskan anggota bandan, menghilangkan kemalasan, membuka pintu hati, menjadi santapan rohani, menerangkan hati, memelihara nikmat kurniaan Allah s.w.t., menghindarkan diri daripada azab Allah s.w.t., menjauhkan syaitan dan menjadikan diri hampir kepada Allah s.w.t.




Kesimpulannya, solah memainkan peranan yang penting dalam memelihara kesihatan rohani dan jasmani. Solah juga memainkan peranan yang penting untuk menjauhkan kemudaratan dan membawa manfaat di dunia dan di akhirat.

Apakah kamu menganggap Aku ini lebih rendah daripada kawanmu?






Renungkanlah kandungan-kandungan al-Quran. Ada satu petikan daripada kitab Taurat yang dinukilkan dalam kitab Ihya 'Ulumiddin, Allah s.w.t. berfirman, "Wahai hambaKu, apakah kamu tidak malu terhadapKu? Jika kamu menerima sepucuk surat daripada kawanmu semasa kamu sedang berjalan, kamu akan berhenti dan duduk di suatu tempat serta membaca surat itu dengan penuh perhatian dan kamu akan merenung setiap perkataan. Sedangkan, kitabKu telah datang kepadamu dan dalam kitab itu Aku telah menerangkan segala sesuatu. Sesetengah perkara yang penting Aku ulang-ulangkan beberapa kali supaya kamu memikirkan tentang perkara itu, tetapi kamu tidak pun mempedulikan kitab itu. Apakah kamu menganggap Aku ini lebih rendah daripada kawanmu? Wahai hambaKu, sesetengah rakan-rakanmu duduk bersama mu serta berbual-bual denganmu dan kamu memberikan sepenuh perhatian kepada mereka. Kamu akan mendengar dan akan cuba memahami percakapan mereka. Sekiranya ada sesiapa yang mencelah maka kamu akan melarangnya dengan isyarat tanganmu. Aku berkata-kata denganmu melalui kitabKu tetapi kamu tidak sedikit pun memberi perhatian kepadaKu. Apakah kamu menganggap Aku ini lebih rendah daripada rakan-rakanmu?



Ikhlas


Ikhlas maksudnya ialah melakukan setiap amalan hanya untuk mendapatkan keredhaan Allah s.w.t.  "Amalan maksudnya melakukan perintah Allah s.w.t. atau meninggalkan larangannya"

 


Walaupun Allah s.w.t. menjanjikan bagi setiap amalan pahala, syurga, keampunan atau bantuan-Nya namun kita tidak beramal untuk mendapatkan perkara itu. Kita hendaklah yakin dengan janji-janji Allah s.w.t. serta membayangkannya ketika beramal, tetapi niat kita hanyalah untuk mendapatkan keredhaan Allah s.w.t. Kita hendaklah membayangkan janji-janji Allah s.w.t. ketika beramal agar amal itu dapat dilaksanakan dengan penuh keghairahan dan kesungguhan. Amalan yang dibuat dengan penuh keghairahan adalah lebih baik mutunya daripada amal yang dibuat tanpa keghairahan.

Ikhlas adalah nama lain bagi iman. Semakin kuatnya iman maka semakin kuatlah ikhlas. Untuk mendapatkan ikhlas, kita perlu mendapatkan iman yang kuat. Untuk memperkuatkan iman kita perlu membuat kerja Nabi s.a.w. dengan cara Nabi s.a.w.

Untuk mempastikan setiap amalan yang kita lakukan itu ikhlas maka kita hendaklah memeriksa niat kita di permulaan, di pertengahan dan di akhir setiap amalan.

 
Nilai Ikhlas

Maksud hadith, dari Abu Umamah r.h. katanya; "Seseorang lelaki telah datang menemui Rasulullah s.a.w. dan berkata, "Bagaimanakah pendapatmu mengenai seorang lelaki yang keluar di jalan Allah s.w.t. semata-mata kerana mencari upah dan supaya terkenal, apakah yang diperolehi oleh orang itu." Rasulullah s.a.w. bersabda: "Dia tidak mendapat apa-apa. Rasulullah s.a.w. mengulanginya hingga tiga kali dan kemudian berkata: "Sesungguhnya Allah s.w.t. AzzawaJalla tidak akan menerima amalan melainkan yang dilakukan dengan ikhlas. (semata-mata untuk mencari keredhaanNya.) -An-Nasai-

...Hakikat Solat

Solat adalah perintah Allah s.w.t. yang paling unggul yang dikurniakan kepada Rasulullah s.a.w. tanpa perantaraan Malaikat Jibril a.s.
Solat yang terbaik adalah solat Nabi Muhammad s.a.w. dan juga solat sahabat-sahabat Nabi s.a.w. yang telah belajar terus dari Nabi Muhammad s.a.w.

Untuk mendapatkan hakikat solat, kita perlu membuat tiga perkara:

1-Apabila kita melihat orang yang tidak bersolat maka kita hendaklah merasa sedih dan kasihan serta berusaha untuk menyediakan dia kepada solat.

2-Apabila kita berdiri di dalam solat, kita hendaklah membawa di dalam solat kita lima perkara.

-Yakin yang betul (sahih). (Berdiri di dalam solat dengan yakin bahawa semua makhluk termasuk dirinya tidak boleh berbuat apa-apa tanpa izin Allah s.w.t.)

-Bersolat dengan cara Nabi Muhammad s.a.w. (Membetulkan bacaan di dalam solat, dan bacaan al-Quran di dalam solat serta mengetahui masa'il di dalam solat. Jika kita tidak tahu tentang masa'il di dalam solat maka kita hendaklah bertanya dengan alim ulama.

-Berdiri di dalam solat, seumpama menghadap Allah s.w.t. atau seumpama Allah s.w.t. melihat kita.

-Membayangkan faedah serta ganjaran yang dijanjikan oleh Allah s.w.t. di atas amalan di dalam solat.

-Melakukan solat semata-mata dengan niat untuk mencari keredhaan Allah s.w.t.

3-Apabila selesai mengerjakan solat, maka kita hendaklah bersyukur kerana Allah s.w.t. telah memberi taufik kepada kita untuk bersolat serta beristighfar di atas kecacatan di dalam solat.

Solat yang baik akan dapat menjadi asbab untuk turunnya bantuan Allah s.w.t. dan dapat mencegah kita daripada melakukan maksiat dan kemungkaran.

Nilai Solat

Diriwayatkan di dalam Hadith bahawa Allah s.w.t mengurniakan lima perkara kepada mereka yang menjaga solatnya;

1-Rezekinya pada setiap hari dipermudahkan.
2-Dia diselamatkan daripada siksaan kubur.
3-Dia akan menerima buku catitan amalnya di tangan kanan pada hari pengadilan.
4-Dia akan meniti titian 'siraat' secepat kilat.
5-Dia akan masuk ke dalam syurga tanpa dihisab.



KHUTBAH NABI MENGENAI DAJJAL

Sahabat-sahabatku... Renungan untuk kita kongsi bersama.. Semoga Allah lindungi kita semua. Aamiin..
 



Dari Abi Umamah Al-Bahiliy, beliau berkata: "Rasululah s.a.w telah berkhutbah di hadapan kami. Dalam khutbahnya itu Baginda banyak menyentuh masalah Dajjal. Baginda telah bersabda: "Sesungguhnya tidak ada fitnah (kerosakan) di muka bumi yang paling hebat selain daripada fitnah yang dibawa oleh Dajjal." Setiap Nabi yang diutus oleh Allah SWT ada mengingatkan kaumnya tentang Dajjal.

Aku adalah nabi yang terakhir sedangkan kamu adalah umat yang terakhir. Dajjal itu tidak mustahil datang pada generasi(angkatan) kamu. Seandainya dia datang sedangkan aku masih ada di tengah-tengah kamu, maka aku adalah sebagai pembela bagi setiap mukmin. Kalau dia datang sesudah kematianku, maka setiap orang menjaga dirinya. Dan sebenarnya Allah SWT akan menjaga orang-orang mukmin.

"Dajjal itu akan datang nanti dari satu tempat antara Syam dan Iraq. Dan mempengaruhi manusia dengan begitu cepat sekali. Wahai hamba Allah, wahai manusia, tetaplah kamu. Di sini akan saya terangkan kepada kamu ciri-ciri Dajjal, yang belum diterangkan oleh nabi-nabi sebelumku kepada umatnya.

"Pada mulanya nanti Dajjal itu mengaku dirinya sebagai nabi. Ingatlah, tidak ada lagi nabi sesudah aku. Setelah itu nanti dia mengaku sebagai Tuhan. Ingatlah bahawa Tuhan yang benar tidak mungkin kamu lihat sebelum kamu mati. Dajjal itu cacat matanya sedangkan Allah SWT tidak cacat, bahkan tidak sama dengan baharu. Dan juga di antara dua mata Dajjal itu tertulis KAFIR, yang dapat dibaca oleh setiap mukmin yang pandai membaca atau buta huruf."

"Di antara fitnah Dajjal itu juga dia membawa syurga dan neraka. Nerakanya itu sebenarnya syurganya sedangkan syurganya itu neraka, yakni panas. Sesiapa di antara kamu yang disiksanya dengan nerakanya, hendaklah dia meminta pertolongan kepada Allah dan hendaklah dia membaca pangkal surah Al-Kahfi, maka nerakanya itu akan sejuk sebagaimana api yang membakar Nabi Ibrahim itu menjadi sejuk.

"Di antara tipu dayanya itu juga dia berkata kepada orang Arab: "Seandainya aku sanggup menghidupkan ayah atau ibumu yang sudah lama meninggal dunia itu, apakah engkau mengaku aku sebagai Tuhanmu?" Orang Arab itu akan berkata: "Tentu." Maka syaitan pun datang menyamar seperti ayah atau ibunya. Rupanya sama, sifat-sifatnya sama dan suaranya pun sama. Ibu-bapanya berkata kepadanya: "Wahai anakku, ikutilah dia, sesungguhnya dialah Tuhanmu."

"Di antara tipu dayanya juga dia tipu seseorang, yakni dia bunuh dan dia belah dua. Setelah itu dia katakan kepada orang ramai: "Lihatlah apa yang akan kulakukan terhadap hambaku ini, sekarang akan kuhidupkan dia semula. Dengan izin Allah orang mati tadi hidup semula. Kemudian Laknatullah Alaih itu bertanya: "Siapa Tuhanmu?" Orang yang dia bunuh itu, yang kebetulan orang beriman, menjawab: "Tuhanku adalah Allah, sedangkan engkau adalah musuh Allah." Orang itu bererti lulus dalam ujian Allah dan dia termasuk orang yang paling tinggi darjatnya di syurga."

Kata Rasulullah s.a.w lagi: "Di antara tipu dayanya juga dia suruh langit supaya menurunkan hujan tiba-tiba hujan pun turun. Dia suruh bumi supaya mengeluarkan tumbuh-tumbuhannya tiba-tiba tumbuh. Dan termasuk ujian yang paling berat bagi manusia, Dajjal itu datang ke perkampungan orang-orang baik dan mereka tidak mengakunya sebagai Tuhan, maka disebabkan yang demikian itu tanam-tanaman dan ternakan mereka tidak menjadi.
 
Masjidil Haram Makkah
Masjidil Nabawi Madinah



"Dajjal itu datang ke tempat orang-orang yang percaya kepadanya dan penduduk kampung itu mengakunya sebagai Tuhan. Disebabkan yang demikian hujan turun di tempat mereka dan tanam-tanaman mereka pun menjadi. "Tidak ada kampung atau daerah di dunia ini yang tidak didatangi Dajjal kecuali Makkah dan Madinah. Kedua-dua kota itu tidak dapat ditembusi oleh Dajjal kerana dikawal oleh Malaikat. Dia hanya berani menginjak pinggiran Makkah dan Madinah. Namun demikian ketika Dajjal datang ke pergunungan di luar kota Madinah, kota Madinah bergoncang seperti gempa bumi. Ketika itu orang-orang munafik kepanasan seperti cacing dan tidak tahan lagi tinggal di Madinah. Mereka keluar dan pergi bergabung dengan orang-orang yang sudah menjadi pengikut Dajjal. Inilah yang dikatakan hari pembersihan kota Madinah.

Dalam hadis yang lain, "di antara fitnah atau tipu daya yang dibawanya itu, Dajjal itu lalu di satu tempat kemudian mereka mendustakannya (tidak beriman kepadanya), maka disebabkan yang demikian itu tanam-tanaman mereka tidak menjadi dan hujan pun tidak turun di daerah mereka. Kemudian dia lalu di satu tempat mengajak mereka supaya beriman kepadanya. Mereka pun beriman kepadanya. Maka disebabkan yang demikian itu Dajjal menyuruh langit supaya menurunkan hujannya dan menyuruh bumi supaya menumbuhkan tumbuh-tumbuhannya. Maka mereka mudah mendapatkan air dan tanam-tanaman mereka subur."
Dari Anas bin Malik, katanya Rasulullah s.a.w bersabda: "Menjelang turunnya Dajjal ada tahun-tahun tipu daya, iaitu tahun orang-orang pendusta dipercayai orang dan orang jujur tidak dipercayai. Orang yang tidak amanah dipercayai dan orang amanah tidak dipercayai."

Dari Jabir bin Abdullah, katanya Rasulullah s.a.w ada bersabda: "Bumi yang paling baik adalah Madinah. Pada waktu datangnya Dajjal nanti ia dikawal oleh malaikat. Dajjal tidak sanggup memasuki Madinah. Pada waktu datangnya Dajjal (di luar Madinah), kota Madinah bergegar tiga kali. Orang-orang munafik yang ada di Madinah (lelaki atau perempuan) bagaikan cacing kepanasan kemudian mereka keluar meninggalkan Madinah. Kaum wanita adalah yang paling banyak lari ketika itu. Itulah yang dikatakan hari pembersihan. Madinah membersihkan kotorannya seperti tukang besi membersihkan karat-karat besi."

Diriwayatkan oleh Ahmad, hadis yang diterima dari Aisyah r.a. mengatakan: "Pernah satu hari Rasulullah s.a.w masuk ke rumahku ketika aku sedang menangis. Melihat saya menangis beliau bertanya: "Mengapa menangis?" Saya menjawab: "Ya Rasulullah, engkau telah menceritakan Dajjal, maka saya takut mendengarnya. " Rasulullah s.a.w berkata: "Seandainya Dajjal datang pada waktu aku masih hidup, maka aku akan menjaga kamu dari gangguannya. Kalau dia datang setelah kematianku, maka Tuhan kamu tidak buta dan cacat."

Dari Jabir bin Abdullah, katanya Rasulullah s.a.w bersabda: "Dajjal muncul pada waktu orang tidak berpegang kepada agama dan jahil tentang agama. Pada zaman Dajjal ada empat puluh hari, yang mana satu hari terasa bagaikan setahun, ada satu hari yang terasa bagaikan sebulan, ada satu hari yang terasa satu minggu, kemudian hari-hari berikutnya seperti hari biasa."

Ada yang bertanya: "Ya Rasulullah, tentang hari yang terasa satu tahun itu, apakah boleh kami solat lima waktu juga?" Rasulullah s.a.w menjawab: "Ukurlah berapa jarak solat yang lima waktu itu." Menurut riwayat Dajjal itu nanti akan berkata: "Akulah Tuhan sekalian alam, dan matahari ini berjalan dengan izinku. Apakah kamu bermaksud menahannya?" Katanya sambil ditahannya matahari itu, sehingga satu hari lamanya menjadi satu minggu atau satu bulan.

Setelah dia tunjukkan kehebatannya menahan matahari itu, dia berkata kepada manusia: "Sekarang apakah kamu ingin supaya matahari itu berjalan?" Mereka semua menjawab: "Ya, kami ingin." Maka dia tunjukkan lagi kehebatannya dengan menjadikan satu hari begitu cepat berjalan.

Menurut riwayat Muslim, Rasulullah s.a.w bersabda: "Akan keluarlah Dajjal kepada umatku dan dia akan hidup di tengah-tengah mereka selama empat puluh. Saya sendiri pun tidak pasti apakah empat puluh hari, empat puluh bulan atau empat puluh tahun. Kemudian Allah SWT mengutus Isa bin Maryam yang rupanya seolah-olah Urwah bin Mas'ud dan kemudian membunuh Dajjal itu." Dan menurut ceritanya setelah munculnya Dajjal hampir semua penduduk dunia menjadi kafir, yakni beriman kepada Dajjal. Menurut ceritanya orang yang tetap dalam iman  hanya tinggal 12,000 lelaki dan 7,000 kaum wanita.



 
Sabda Rasulullah: "Sebarkanlah walau seayat."


Peringkat-peringkat isteri dalam memberi keta'atan dan meminta nafkah...

1. Isteri Siddiqin

Isteri yang tidak akan meminta apa-apa dari suaminya sekalipun yang perlu (dharuri). Apa yang disediakan suaminya, dia terima dengan penuh malu dan bersyukur. Kalau ada, adalah. Kalau tidak ada, dia bersabar. Tapi meminta tidak. Apatah lagi yang tidak perlu, kalau diberi pun dia tolak bahkan adakalanya yang perlu pun dia tolak dengan baik, dia lebih suka menolong suaminya. Itulah golongan yang bersifat orang yang Siddiqin. Golongan ini payah hendak dicari terutama di akhir zaman ini, macam hendak mencari belerang merah atau gagak putih. Ini adalah perempuan luar biasa.

2. Isteri Muqarrobin

Isteri yang tidak meminta dari suaminya kecuali yang perlu sahaja. Yang tidak perlu dia tidak akan memintanya bahkan kalau suaminya memberi yang tidak perlu dia tolak dengan baik. Tapi kalau yang diperlukan pun tidak ada, dia tetap sabar. Namaun dia tidak akan mendesak suaminya. Dia tetap bersabar dengan keadaan itu. Itulah golongan Muqarrobin. Golongan ini juga susah hendak dicari di zaman kebendaan ini, di zaman orang memburu dunia, di zaman orang memandang dunia adalah segala-galanya.

3. Isteri Solehin

Isteri yang meminta kepada suaminya yang perlu dan juga sekali-sekala meminta juga yang tidak perlu seperti ingin sedikit kehidupan yang selesa sama ada dari segi makan minum, tempat tinggal, kenderaan. Namun kalau suaminya tidak memberi, dia tetap sabar dan tidak pula menjadi masalah. Itulah dia golongan orang yang soleh.

4. Isteri Fasik

Isteri yang selalu sahaja meminta-minta bukan sahaja yang perlu, yang tidak perlu pun dia suka meminta-minta juga. Kalau diberi pun tidak pernah puas-puas, tidak pernah rasa cukup, sudah mewah pun tidak rasa cukup. Kalau tidak diberi menjadi masalah, dia merungut-rungut, marah-marah, sakit hati, merajuk hingga menjadi masalah dalam rumah tangga. Inilah dia golongan yang fasik. Isteri ini selalu sahaja derhaka dengan suami, apatah lagi dengan Tuhan.





NAMA, RUPA DAN HAKIKAT

Setiap perkara mempunyai nama, rupa dan hakikatnya. Satu perkara yang hanya ada nama maka ia tidak akan mendatangkan faedah atau kesan. Jika kita, menyebut api, maka itu bukanlah api, tetapi percakapan tentang api. Percakapan tentang api bukan api dan ianya tidak akan mendatangkan faedah walaupun kita bercakap tentang api berjuta kali. Jika kita lukiskan gambar api, maka itu juga bukan api, tetapi itu adalah rupa api. Rupa api tidak akan memberi kesan panas kepada kita. ianya tidak akan mendatangkan kesan panas kepada sesiapa pun yang menyentuhnya.

Api yang kecil tetapi ianya adalah api, maka ia boleh digunakan untuk membakar kayu api dan seterusnya boleh digunakan untuk memasak makanan atau memanaskan badan. Jika api itu adalah api maka ia mesti merah menyala dan ia mesti panas. Jika ianya hanyalah rupa api, maka ia tidak akan panas dan tidak akan merah menyala dan ianya tidak akan boleh digunakan untuk menyalakan api dapur. Jika ianya hanyalah perkataan api sahaja, maka ianya juga tidak akan dapat digunakan untuk memasak makanan atau memanaskan badan. Perkataan dan rupa tidak mendatangkan faedah sepertimana perkataan api dan rupa api. Kita mesti mendapatkan hakikat api. Kita mesti mendapatkan api yang betul. Api yang betul mesti panas dan boleh digunakan untuk memasak makanan. Jika api itu tidak panas, maka ia adalah bukan api yang betul. Warna atau rupa gula adalah putih. Gula mempunyai rasa yang manis dan jika dimasukkan ia kedalam secawan teh, maka teh itu akan menjadi manis. Jika ‘gula’ itu mempunya rupa seperti gula tetapi ianya tidak manis, maka sudah tentu ianya adalah bukan gula. Ia mungkin kaca atau garam.

Setiap perkara mempunyai nama, rupa dan hakikatnya. Agama juga mempunyai nama, rupa dan hakikatnya. Nama dan rupa agama adalah mudah untuk dilaksanakan, tetapi ianya tidak mempunyai kesan, dan faedah yang telah dijanjikan oleh Allah s.w.t. Kita boleh memberitahu semua manusia bahawa agama kita adalah Islam dan nama kita adalah nama orang Islam, tetapi itu tidak bermakna bahawa kita mempunyai hakikat agama Islam di dalam diri kita. Untuk menzahirkan rupa Islam kita boleh menukar pakaian kita kepada pakaian Islam. Kita boleh melakukannya dengan serta-merta. Tidak perlu mengambil usaha yang lama untuk mengubah rupa kita kepada rupa Islam. Di dalam beberapa minggu kita boleh mempunyai janggut, berserban dan memakai baju jubah yang panjang. Kita akan kelihatan seperti seorang yang beragama. pakaian kita boleh mirip seperti pakaian Nabi s.a.w. Apabila kita boleh bercakap tentang agama, membaca al-Quran dengan baik dan boleh berbahasa Arab, maka kita tentu akan kelihatan seperti orang yang mempunyai agama yang sempurna. Jika orang lain menyangka bahawa kita mempunyai agama tetapi kita sendiri tidak beranggapan begitu maka itu adalah kurang bahaya.

Apa yang lebih bahaya adalah kita telah menyangka bahawa diri kita telah mempunyai agama yang sempurna. Apabila kita mempunyai perasaan seperti ini maka kita tidak akan berusaha lagi untuk membawa hakikat agama yang sebenarnya di dalam diri kita. pakaian, serban dan janggut kita telah membuatkan kita menyangka kita telah ada agama. Pada hakikatnya kita baru mempunyai rupa agama yang sebenarnya belum masuk lagi ke dalam diri kita. Usaha yang menekankan kepada rupa agama dengan memberi kepentingan kepada pakaian, janggut, serban, serta purdah tidak akan boleh bertahan lama. Apabila di landa dengan dugaan atau ujian dari Allah s.w.t. segala rupa agama itu akan hilang dalam sekelip mata. Kita boleh menukar rupa kita kepada rupa agama apabila kita mendengar ceramah agama yang bersemangat. Kita tidak boleh mendapatkan hakikat agama hanya dengan mendengar ceramah agama. Ceramah agama yang bersemangat akan dapat menimbulkan keinginan di dalam diri kita untuk mendapatkan agama.

Untuk hakikat agama datang di dalam kehidupan kita, maka kita perlu melapangkan masa, berkorban diri dan harta untuk membuat kerja agama. Untuk hakikat agama datang di dalam kehidupan, kita perlu membuat kerja agama dengan cara yang betul dan dengan bersungguh-sungguh. Usaha untuk mendapatkan hakikat agama akan mengambil masa puluhan tahun. Hakikat agama tidak akan datang dengan tiba-tiba di dalam beberapa hari. Hakikat agama akan datang perlahan-lahan. Sebelum hakikat agama datang di dalam kehidupan, kita perlu mendapatkan hakikat iman. Untuk mendapatkan hakikat iman, sahabat-sahabat Nabi s.a.w. telah mengambil masa membuat usaha mempertingkatkan iman selama lebih kurang tiga belas tahun. Setelah sahabat nabi s.a.w. mendapat hakikat iman maka barulah hakikat agama datang di dalam kehidupan mereka. Amalan agama yang pertama datang di dalam kehidupan mereka adalah solat.

Walaupun kita ingin untuk membawa agama yang sempurna di dalam kehidupan kita tetapi kita telah lupa untuk berusaha mendapatkan asas agama iaitu hakikat iman atau hakikat kalimah Lailahaillallah. Usaha yang kita buat pada masa ini hanyalah untuk meniupkan keinginan kepada agama, menimbulkan kesedaran bahawa agama itu, penting dan menimbulkan fikir tentang pentingnya iman dan agama. Segala bayan, kuliah, forum, ceramah dan mezakarah yang kita adakan hanyalah untuk maksud ini. Selepas kuliah dan ceramah keinginan dan semangan kepada agama bertambah, tetapi oleh kerana ‘usaha’ tidak dibuat dan masa tidak dilapangkan untuk membuat usaha, maka amalan agama hanya tinggal di dalam semangat, fikir, risau dan keinginan sahaja. Kesan dari kuliah dan ceramah agama yang bersemangat, kita akan mendapat rupa atau bentuk amalan agama tetapi bukan hakikat agama.

Apabila dikatakan mempunyai hakikat hanya apabila amalan agama itu mendatangkan kesan dan faedah kepada yang mengamalkannya. Kesan atau faedah dari amalan agama yang mempunyai hakikat atau ‘roh’ seperti solat ialah solatnya boleh menarik bantuan Allah s.w.t. serta menyelesaikan semua masalah di dunia dan di akhirat. Solat yang mempunyai hakikat akan menyebabkan keinginan untuk melakukan maksiat berkurang. Apabila solat mempunyai hakikat, maka ia akan dapat mencegah kita daripada melakukan dosa dan maksiat. Apabila kita hanya mempunyai rupa amalan agama maka ianya tidak akan memberi faedah kepada kita sepertimana rupa api tidak akan memberi faedah kepada kita sehinggalah rupa api itu bertukar menjadi hakikat. Jikalau rupa amalan agama tidak boleh memberi faedah di dunia, tentulah ianya juga tidak boleh mendatangkan faedah di akhirat.

Apakah faedah solat apabila solat itu ada hakikatnya. Allah s.w.t. berfirman (maknanya):
“Mohonlah pertolongan dengan sabar dan solat. Sesungguhnya itu berat kecuali mereka yang khusyuk hatinya”.
(Al-Baqarah: 45)

Allah s.w.t berfirman lagi (maknanya):
“Sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan keji dan mungkar”.
(Al-Ankabut: 45)



Jika solat kita tidak boleh mendatangkan faedah, sepertimana yang dijanjikan oleh Allah s.w.t. maka solat itu hanyalah rupa sahaja. Ia belum mempunyai hakikatnya. Kita perlu berusaha untuk mendapatkan solat yang dikatakan solat oleh Allah s.w.t. Bersolat sahaja tidak mencukupi. Kita perlu mendapatkan hakikatnya, barulah solat itu memberi kesan dan faedah kepada kita di dunia dan di akhirat.


Ketinggian perkataan Allah.

Hazrat Abu Sa'id ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, "Allah s.w.t. berfirman, "Jikalau sesiapa mendapati tidak ada masa untuk mengingatiKu dan berdoa kepadaKu kerana sibuk dengan al-Quran maka Aku akan mengurniakan kepadanya perkara yang terbaik yang Aku kurniakan kepada orang yang berdoa kepadaKu. ketinggian perkataan Allah s.w.t. ke atas segala perkataan adalah seumpama ketinggian Allah s.w.t. ke atas segala makhluk (ciptaanNya)."
(Hadith riwayat Tirmizi, Darimi dan Baihaqi)

Maksud haith di atas ialah, seseorang yang sentiasa sibuk menghafal, mempelajari atau memahami al-Quran sehingga tidak ada masa untuk berdoa maka Allah s.w.t. akan mengurniakan kepadanya sesuatu yang lebih baik daripada yang diberikan kepada orang lain yang berdoa kepadaNya.
Suatu perkara yang lumrah di dunia ini ialah apabila ada seseorang yang sedang membahagi-bahagikan kuih muih dan salah seorang yang layak menerima kuih itu sibuk melakukan urusan bagi pihak sipembahagi itu sendiri sehingga menyebabkan dia tidak dapat hadir untuk mendapatkan bahagiannya maka sudah tentu bahagian untuknya akan disimpan terlebih dahulu.

Berkenaan keadaan yang sama seperti hadith di atas, dalam hadith yang lain dinyatakan bahawa Allah s.w.t. akan mengurniakan kepada orang yang sibuk dengan al-Quran pahala yang lebih afdal daripada pahala yang diberikan kepada hamba-hambaNya yang bersyukur.


Petikan dari Kitab FADHiLAT AMAL bab Fadhilat al-Quran m/s 11-12

Membaca al-Quran dengan tujuan keduniaan.

Hazrat Buraidah ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, "Sesiapa membaca al-Quran dan dengan al-Quran dia memperoleh sesuatu daripada manusia untuk dimakannya, akan muncul pada hari kiamat, mukanya cuma bertulang dan tidak berdaging." (Hadith riwayat Baihaqi dalam kitab Syukbil Iman)

Mereka yang membaca al-Quran dengan tujuan keduniaan tidak akan mendapat apa-apa bahagian pada hari akhirat kelak. Rasulullah s.a.w. telah bersabda, "Kita yang membaca al-Quran, antara kita ada orang 'Arab dan bukan 'Arab. Teruskanlah bacaanmu sebagaimana kamu melakukan sekarang ini. Tidak lama lagi akan bangun satu golongan manusia yang akan memperbetul sebutan huruf-huruf al-Quran sebagaimana anak panah diperbetul, iaitu mereka akan berusaha keras untuk menghiasi bacaan mereka. mereka menghabiskan masa berjam-jam bagi memperbaiki sebutan setiap huruf.  Mereka akan bersusah payah untuk memperbetul makhraj, tetapi itu semua adalah untuk tujuan keduniaan. Perbuatan mereka langsung tidak ada kena mengena dengan akhirat." Hadith ini bermaksud bahawa hanya membaca dengan suara yang baik sahaja adalah sia-sia jika tidak ada keikhlasan dan tujuan hanyalah untuk mendapatkan faedah keduniaan. 'Wajah menjadi tidak berdaging' bermaksud bahawa apabila seseorang itu menjadikan sesuatu yang paling mulia (iaitu al-Quran) sebagai alat untuk mendapatkan sesuatu yang paling rendah nilainya (keuntungan dunia) maka bahagian badan yang paling mulia (iaitu mukanya) akan dihilangkan kecantikan muka itu.

pada suatu ketika Hazrat 'Imran bin Husain ra. melalui seorang penceramah yang membaca al-Quran dan kemudian meminta-minta kepada manusia. Melihatkan peristiwa itu beliau membaca 'innaalillahi wainna  illaihi roji'un' dan berkata, "Saya mendengar daripada Rasulullah s.a.w. bahawa sesiapa membaca al-Quran dan ingin meminta sesuatu hendaklah dia meminta hanya kepada Allah s.w.t. Tidak lama lagi akan datang satu kumpulan manusia yang akan membaca al-Quran dan kemudian meminta-minta kepada manusia." 

Untuk orang yang demikianlah ayat berikut daripada al-Quran yang mulia telah diturunkan: (maknanya)
'Inilah mereka yang membeli kesesatan dengan petunjuk. Maka perniagaan mereka tidak akan memberikan keuntungan, juga mereka bukanlah pengikut-pengikut yang mendapat petunjuk.'
(al-Baqarah: 16)

Hazrat Ubai bin Ka'ab ra. berkata, "saya telah mengajar satu surah daripada al-Quran kepada seseorang. Dia telah menghadiahkan kepada saya satu busar panah. saya memberitahu Rasulullah s.a.w. tentang perkara itu. Baginda s.a.w. bersabda, "Kamu telah menerima satu busardari neraka." Peristiwa sedemikian berlaku juga kepada Hazrat 'Ubadah bin Somit ra. yang beliau sendiri meriwayatkannya. Jawapan Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh beliau ialah, "Engkau telah menggantungkan di kedua-dua bahu engkau dengan bara dari neraka." Mengikut satu riwayat yang lain Rasulullah s.a.w. bersabda, "Sekiranya kamu ingin satu kalung api neraka dikalungkan ke lehermu maka engkau terimalah."

Setelah sampai setakat ini, dengan penuh hormat saya ingin nasihatkan kepada para hafiz yang bekerja di sekolah-sekolah agama semata-mata untuk wang. Demi kerana Allah, fikirkanlah kedudukan dan tanggungjawab tuan-tuan sendiri. Orang yang memberhentikan anak-anak mereka daripada mempelajari atau menghafal al-Quran kerana terkesan dengan niat-niat buruk kamu maka bukan mereka sahaja yang akan diazab tetapi kamu juga mesti menjawab persoalan tersebut nanti dan kamu akan digolongkan di kalangan mereka yang menghalang al-Quran.

Kamu menyangka bahawa kamulah yang menyebarkan al-Quran tetapi sebenarnya kamulah yang menghalang perkembangan al-Quran. Yakni disebabkan kelakuan kamu yang buruk serta niat-niat kamu yang tidak ikhlas orang ramai terpaksa meninggalkan pembelajaran al-Quran. Para ulama tidak membenarkan penerimaan gaji bagi pengajaran al-Quran, sebabnya supaya kita tidak menjadikan gaji itu sebagai maksud kita yang utama. Bahkan maksud utama para ustaz adalah untuk mengajar al-Quran dan menyebarkan ilmu agama. Gaji bukanlah upahan kepada tenaga yang telah dicurahkan, sebaliknya hanya satu cara untuk menampung keperluan. Cara itu telah dibenarkan hanya kerana terpaksa dan darurat.


Petikan dari Kitab FADHiLAT AMAL bab Fadhilat al-Quran m/s 95-97 

Adalah penting Al-Quran tidak dibaca dengan nada menyanyi




Hazrat Fudalah bin Ubaid ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, Sesungguhnya perhatian Allah s.w.t. kepada pembaca al-Quran lebih daripada perhatian seorang tuan yang mendengar hamba perempuannya menyanyi. (Hadith riwayat Ibnu Majah, Ibnu Hibban dan Hakim)

Penumpuan perhatian terhadap nyanyian adalah suatu perkara yang fitrah dan menjadi lumrah manusia. Di sebabkan tegahan agama maka orang yang soleh tidak memberi tumpuan terhadap nyanyian. Namun demikian, tidak ada apa-apa tegahan sekiranya penyanyi itu adalah hamba milik sendiri. Oleh kerana itulah, perhatian sepenuhnya diberikan kepada hamba itu. Walau bagaimanapun, adalah penting al-Quran tidak dibaca dengan nada menyanyi. Larangan terhadap perkara ini terdapat dalam hadith-hadith. dalam satu hadith terdapat kenyataan, Jauhilah daripada (membaca al-Quran) dengan rentak para pencinta.

Para ulama mengatakan bahawa pembaca yang membaca sedemikian adalah fasiq dan orang yang mendengar bacaaan sedemikian adalah berdosa. Yang dikehendaki ialah membaca al-Quran dengan suara yang merdu tanpa mengikut kaedah-kaedah nyanyian. Galakan terhadap perkara ini terdapat dalam hadith-hadith di beberapa tempat. Rasulullah s.a.w. pernah bersabda, Hiasilah al-Quran dengan suara yang bagus. Dalam hadith lain Baginda s.a.w. bersabda, Suara yang merdu menggandakan keelokan bacaan al-Quran.

Syaikh Abdul Qadir Jilani rah. menulis dalaam kitabnya Ghuniyyah bahawa pada suatu ketika Hazrat Abdullah bin Mas'ud ra. telah melalui suatu tempat berhampiran dengan Kufah dan melihat satu kumpulan orang fasiq di dalam sebuah rumah. Seorang penyanyi yang bernama Zazan sedang menyanyi dan memainkan biolanya. Apabila Hazrat Abdullah bin Mas'ud ra. mendengar suara Zazan, beliau pun berkata, Alangkan baiknya suara itu jika digunakan untuk membaca al-Quran. Beliau menutup kepalanya dengan kain sambil berlalu dari situ. Zazan telah nampak beliau berkata sesuatu. Apabila dia bertanya kepada orang ramai dia mendapat tahu bahawa orang itu adalah Hazrat Abdullah bin Mas'ud ra. Beliau adalah seorang sahabat Nabi s.a.w. yang telah berkata demikian. Di sebabkan kata-kata tersebut Zazan telah diselubungi perasaan yang tersangat takut. Dipendekkan cerita, dia telah memecahkan semua alat muziknya dan menjadi salah seorang pengikut Hazrat Abdullah bin Mas'ud ra. Kemudian Zazan telah menjadi seorang alim yang terkenal pada zamannya.

Ada banyak hadith yang memuji pembacaan al-Quran dengan suara yang elok tetapi seiringan itu membaca al-Quran dengan nada suara nyanyian adalah dilarang sebagaimana yang telah dinyatakan sebelum ini.

Hazrat Huzaifah ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, Bacalah al-Quran dengan nada Arab, jangan membaca seumpama suara seorang yang mabuk cinta atau seumpama suara orang Yahudi dan Nasrani. Tidak lama lagi akan datang sekumpulan orang yang akan membaca al-Quran dengan sengaja membentuk suara mereka sebagaimana penyanyi-penyanyi dan orang yang meratap sedih. Bacaan yang sedemikian rupa tidak akan memberi sedikit manfaat pun kepada mereka semua. Mereka sendiri akan mendapat kerosakan dan mereka juga akan memasukkan orang yang memuji bacaan mereka kedalam kerosakan.

Hazrat Taus rah. menulis bahawa seorang telah bertanya kepada Rasulullah s.a.w, Siapakah pembaca al-Quran yang terbaik?? Rasulullah menjawab, Seorang yang apabila kamu mendengar bacaannya kamu dapat merasakan bahawa dia adalah seorang yang takut kepada Allah s.w.t, iaitu suaranya menggambarkan rasa penuh ketakutannya kepada Allah s.w.t.

Sungguhpun demikian, Allah s.w.t. begitu pemurah, seseorang itu hanya dibebankan dengan sesuatu yang dia mampu. Ada sebuah hadith mengatakan bahawa Allah s.w.t. mengutus seorang malaikat dengan satu tugas khas, iaitu jika terdapat seseorang yang membaca al-Quran dan tidak mampu membaca sebagaimana tuntutan al-Quran yang sebenar maka malaikat itu akan membawa bacaannya itu naik ke langit selepas mambetulkan bacaan itu. Wahai Allah, aku tidak dapat menghitung segala pujian untukMu.


Petikan dari Kitab FADHiLAT AMAL bab Fadhilat al-Quran m/s 59-61

words of....... Wisdom and Hope: Alam Masyhar

words of....... Wisdom and Hope: Alam Masyhar: "1. Selepas Malaikat Israfil meniup sangkakala (bentuknya seperti tanduk besar) yang memekakkan telinga, seluruh makhluk mati kecuali Izrail ..."

Membentuk Cinta

Jikalau seseorang itu hendak membentuk cinta terhadap sesuatu yang benar-benar layak dicintai, iaitu Allah s.w.t., maka dia hendaklah memikirkan dengan mendalam tentang sifat-sifat kesempurnaan dan daya tarikanNya... dan janganlah berpuas hati dengan apa-apa yang telah diketahui, tetapi hendaklah selalu bersungguh-sungguh untuk mengetahui lebih lanjut mengenaiNya...


Petikan dari Kitab FADHiLAT AMAL bab Fadhilat al-Quran m/s 100

Sedikit Pencerahan Tentang Dunia Kita Di Akhir Zaman ini...