Membaca al-Quran dengan tujuan keduniaan.

Hazrat Buraidah ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, "Sesiapa membaca al-Quran dan dengan al-Quran dia memperoleh sesuatu daripada manusia untuk dimakannya, akan muncul pada hari kiamat, mukanya cuma bertulang dan tidak berdaging." (Hadith riwayat Baihaqi dalam kitab Syukbil Iman)

Mereka yang membaca al-Quran dengan tujuan keduniaan tidak akan mendapat apa-apa bahagian pada hari akhirat kelak. Rasulullah s.a.w. telah bersabda, "Kita yang membaca al-Quran, antara kita ada orang 'Arab dan bukan 'Arab. Teruskanlah bacaanmu sebagaimana kamu melakukan sekarang ini. Tidak lama lagi akan bangun satu golongan manusia yang akan memperbetul sebutan huruf-huruf al-Quran sebagaimana anak panah diperbetul, iaitu mereka akan berusaha keras untuk menghiasi bacaan mereka. mereka menghabiskan masa berjam-jam bagi memperbaiki sebutan setiap huruf.  Mereka akan bersusah payah untuk memperbetul makhraj, tetapi itu semua adalah untuk tujuan keduniaan. Perbuatan mereka langsung tidak ada kena mengena dengan akhirat." Hadith ini bermaksud bahawa hanya membaca dengan suara yang baik sahaja adalah sia-sia jika tidak ada keikhlasan dan tujuan hanyalah untuk mendapatkan faedah keduniaan. 'Wajah menjadi tidak berdaging' bermaksud bahawa apabila seseorang itu menjadikan sesuatu yang paling mulia (iaitu al-Quran) sebagai alat untuk mendapatkan sesuatu yang paling rendah nilainya (keuntungan dunia) maka bahagian badan yang paling mulia (iaitu mukanya) akan dihilangkan kecantikan muka itu.

pada suatu ketika Hazrat 'Imran bin Husain ra. melalui seorang penceramah yang membaca al-Quran dan kemudian meminta-minta kepada manusia. Melihatkan peristiwa itu beliau membaca 'innaalillahi wainna  illaihi roji'un' dan berkata, "Saya mendengar daripada Rasulullah s.a.w. bahawa sesiapa membaca al-Quran dan ingin meminta sesuatu hendaklah dia meminta hanya kepada Allah s.w.t. Tidak lama lagi akan datang satu kumpulan manusia yang akan membaca al-Quran dan kemudian meminta-minta kepada manusia." 

Untuk orang yang demikianlah ayat berikut daripada al-Quran yang mulia telah diturunkan: (maknanya)
'Inilah mereka yang membeli kesesatan dengan petunjuk. Maka perniagaan mereka tidak akan memberikan keuntungan, juga mereka bukanlah pengikut-pengikut yang mendapat petunjuk.'
(al-Baqarah: 16)

Hazrat Ubai bin Ka'ab ra. berkata, "saya telah mengajar satu surah daripada al-Quran kepada seseorang. Dia telah menghadiahkan kepada saya satu busar panah. saya memberitahu Rasulullah s.a.w. tentang perkara itu. Baginda s.a.w. bersabda, "Kamu telah menerima satu busardari neraka." Peristiwa sedemikian berlaku juga kepada Hazrat 'Ubadah bin Somit ra. yang beliau sendiri meriwayatkannya. Jawapan Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh beliau ialah, "Engkau telah menggantungkan di kedua-dua bahu engkau dengan bara dari neraka." Mengikut satu riwayat yang lain Rasulullah s.a.w. bersabda, "Sekiranya kamu ingin satu kalung api neraka dikalungkan ke lehermu maka engkau terimalah."

Setelah sampai setakat ini, dengan penuh hormat saya ingin nasihatkan kepada para hafiz yang bekerja di sekolah-sekolah agama semata-mata untuk wang. Demi kerana Allah, fikirkanlah kedudukan dan tanggungjawab tuan-tuan sendiri. Orang yang memberhentikan anak-anak mereka daripada mempelajari atau menghafal al-Quran kerana terkesan dengan niat-niat buruk kamu maka bukan mereka sahaja yang akan diazab tetapi kamu juga mesti menjawab persoalan tersebut nanti dan kamu akan digolongkan di kalangan mereka yang menghalang al-Quran.

Kamu menyangka bahawa kamulah yang menyebarkan al-Quran tetapi sebenarnya kamulah yang menghalang perkembangan al-Quran. Yakni disebabkan kelakuan kamu yang buruk serta niat-niat kamu yang tidak ikhlas orang ramai terpaksa meninggalkan pembelajaran al-Quran. Para ulama tidak membenarkan penerimaan gaji bagi pengajaran al-Quran, sebabnya supaya kita tidak menjadikan gaji itu sebagai maksud kita yang utama. Bahkan maksud utama para ustaz adalah untuk mengajar al-Quran dan menyebarkan ilmu agama. Gaji bukanlah upahan kepada tenaga yang telah dicurahkan, sebaliknya hanya satu cara untuk menampung keperluan. Cara itu telah dibenarkan hanya kerana terpaksa dan darurat.


Petikan dari Kitab FADHiLAT AMAL bab Fadhilat al-Quran m/s 95-97 

No comments:

Post a Comment

Sedikit Pencerahan Tentang Dunia Kita Di Akhir Zaman ini...