Hazrat Ata bin Abi Rabah rah. berkata, telah sampai kepadaku bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, "Sesiapa yang membaca surah Yaasin pada permulaan hari maka segala hajatnya akan dipenuhkan." (Hadith riwayat Darimi)
Kelebihan-kelebihan surah Yaasin juga banyak disebutkan dalam hadith-hadith. Adalah diriwayatkan dalam sebuah hadith,"Segala sesuatu mempunyai hati, dan hati bagi Al-Quran ialah surah Yaasin. Sesiapa membaca surah Yaasin, Allah s.w.t. akan menuliskan pahala baginya seumpama dia membaca seluruh al-Quran sebanyak sepuluh kali."
Menurut sebuah hadith yang lain, Allah s.w.t. membacakan surah Taha dan surah Yaasin seribu tahun sebelum menciptakan langit dan bumi. Apabila para malaikat mendengarkan keadaan ini, mereka berkata, "Bertuahlah umat yang akan diturunkan al-Quran ke atas mereka, bertuahlah hati-hati yang akan memikul al-Quran (yakni yang akan menghafalnya) dan bertuahlah lidah-lidah yang akan membaca al-Quran."
Diriwayatkan dalam satu hadith, "Sesiapa yang membaca surah Yaasin semata-mata kerana Allah s.w.t., segala dosanya yang dahulu akan diampunkan. Oleh itu bacalah surah ini untuk orang yang telah mati."
Mengikut sebuah hadith, dalam kitab Taurat, surah Yaasin dinamakan Mun'imah (pemberi nikmat) kerana surah itu membawa kebaikkan kepada pembaca surah itu dalam kehidupan di dunia dan juga di akhirat, al-Quran juga menghindarkan penderitaan di dunia dan di akhirat dan menjauhkan kedahsyatan dalam kehidupan akhirat.
Surah ini juga dikenali sebagai Rafi'ah Khafidhoh, iaitu yang mengangkat darjat orang beriman dan merendahkan darjat orang kafir. Menurut satu riwayat, Rasulullah s.a.w. bersabda, "Hatiku menghendaki supaya surah Yaassin berada dalam setiap hati umatku." Mengikut sebuah hadith yang lain, jika seseorang itu membaca surah Yaasin pada setiap malam dan kemudiannya mati maka dia akan mati sebagai syahid.
Diriwayatkan daripada hadith yang lain, "Sesiapa yang membaca surah Yaasin maka dosanya akan diampunkan, sesiapa sahaja yang membaca surah ini semasa kelaparan, akan dihilangkan kelaparannya itu, sesiapa membaca surah ini ketika sesat jalan, akan menjumpai semula jalannya, sesiapa membaca surah ini kerana kehilangan binatang kenaikkannya akan menjumpai semula binatangnya itu, dan apabila seseorang itu membaca surah ini kerana bimbangkan makanan tidak cukup maka makanan itu akan mencukupi. Sekiranya seseorang itu membaca surah Yaasin kepada orang yang sedang dalam keadaan nazak maka kesakitan ketika nazaknya akan diringankan. Jika seseorang itu membaca surah ini ke atas wanita yang menghadapi kesukaran semasa melahirkan anak maka akan dimudahkan kelahiran bayinya." Muqri rah. berkata, "Sekiranya surah Yaasin dibaca oleh seseorang yang takutkan pemerintah atau musuh maka ketakutan itu akan hilang." Menurut satu hadith yang lain, jika seseorang membaca surah Yaasin dan surah as-Soffaat pada hari Jumaat dan memohon kepada Allah s.w.t. sesuatu maka doanya akan diterima. (Kebanyakkan bahan yang dinukilkan disini ialah daripada kitab Mazahirul Haq, tetapi sesetengah ulama hadith telah mempersoalkan kesahihan sesetengah daripada riwayat tersebut.)
No comments:
Post a Comment