Hati Yang Rosak





Hati yang rosak, ialah hati di mana di dalamnya tidak ada yakin pada Allah s.w.t., penciptanya. Hatinya tidak mengenal penciptanya Allah s.w.t. 




Hatinya hanya mengenal makhluk Allah s.w.t. yang dapat dilihat olehnya. Oleh kerana hatinya tidak yakin pada Allah s.w.t., maka dia tidak akan mentaati Allah s.w.t. Dia tidak akan patuh pada perintah-perintah Allah s.w.t. Apa yang diinginkannya hanyalah makhluk seperti dia yang hakikatnya tidak boleh berbuat apa-apa tanpa izin penciptanya Allah s.w.t. 

Manusia yang rosak tidak mengenal Allah s.w.t. dan tidak cinta pada Allah s.w.t. Oleh kerana cintanya hanya pada makhluk maka keinginan hatinya hanyalah untuk mendapatkan makhluk. Hatinya tidak mencintai Allah s.w.t., maka dia tidak taat pada Allah s.w.t. dan tidak inginkan agar Allah s.w.t. mencintai dia.. Dia tidak tahu apakah harga dan nilai cinta Allah s.w.t. Dia hanya mencintai makhluk kerana dia nampak harga dan nilai makhluk. Tetapi dia tidak tahu bahawa makhluk itu tidak boleh berbuat apa-apa terhadapnya tanpa izin Allah s.w.t. yang mencipta segala makhluk.

Manusia yang rosak menyangka makhluk yang dicintainya itu boleh membantunya, boleh menyelesaikan masalahnya, tetapi dia tidak tahu yang hanya boleh berbuat apa sahaja hanyalah Allah s.w.t. Dia akan berharap kepada makhluk untuk membantu dan menyelesaikan masalahnya, tetapi dia akan dikecewakan, kerana makhluk tidak ada kuasa berbuat apa pun tanpa izin Allah s.w.t.


RAHSIA KHUSYUK DALAM SOLAT

Seorang ahli ibadah bernama Isam bin Yusuf, dia sangat warak dan sangat khusyuk solatnya. Namun dia selalu khuatir kalau-kalau ibadahnya kurang khusyuk dan selalu bertanya kepada orang yang dianggapnya lebih ibadahnya, demi untuk memperbaiki dirinya yang selalu dirasakan kurang khusyuk.

Pada suatu hari, Isam menghadiri majlis seorang abid bernama Hatim Al-Isam dan bertanya: "Wahai Abu Abdurrahman, bagaimanakah caranya tuan solat?" Hatim berkata: "Apabila masuk waktu solat aku berwudhu' zahir dan batin."
 
Isam bertanya, "Bagaimana wudhu' zahir dan batin itu?" Hatim berkata, "Wudhu' zahir sebagaimana biasa, iaitu membasuh semua anggota wudhu' dengan air. Sementara wudhu' batin ialah membasuh anggota dengan tujuh perkara:-
 
1-Bertaubat
2-Menyesali dosa yang dilakukan
3-Tidak tergila-gilakan dunia
4-Tidak mencari / mengharap pujian orang (riya')
5-Tinggalkan sifat berbangga
6-Tinggalkan sifat khianat dan menipu
7-Meninggalkan sifat dengki

 

Seterusnya Hatim berkata, "Kemudian aku pergi ke masjid, aku kemaskan semua anggotaku dan menghadap kiblat. Aku berdiri dengan penuh kewaspadaan dan aku bayangkan Allah s.w.t. ada di hadapanku, syurga di sebelah kananku, neraka di sebelah kiriku, malaikat maut berada di belakangku, dan aku bayangkan pula bahawa aku seolah-olah berdiri di atas titian 'Sirratul Mustaqim' dan aku menganggap bahawa solatku kali ini adalah solat terakhirku, kemudian aku berniat dan bertakbir dengan baik.
 

Setiap bacaan dan doa dalam solat kufaham maknanya, kemudian aku ruku' dan sujud dengan tawadhu', aku bertasyahhud dengan penuh pengharapan dan aku memberi salam dengan ikhlas. Beginilah aku bersolat selama 30 tahun." Apabila Isam mendengar, menangislah dia kerana membayangkan ibadahnya yang kurang baik bila dibandingkan dengan Hatim.

Yaa Siin....



Nabi kita Muhammad s.a.w bersabda: 
"Tiap-tiap sesuatu Mempunyai hati dan hati Al-Quran ialah surah Yaasiin."
 
Dalam satu hadith yang lain Baginda s.a.w bersabda:  
"Hendaklah kamu membaca surah Yaasiin ke atas pesakit-pesakitmu yang menghadapi sakaratul-maut, nescaya Allah s.w.t. akan meringankan kekerasan sakaratul-maut itu." 

Dalam satu hadith yang lain pula Baginda s.a.w bersabda: 
"Aku ingin benar, agar surah Yaasiin ini dihafaz oleh tiap-tiap umatku."


-Barang siapa membacanya sebanyak 21 kali pada malam Jumaat, Lalu berdoa istighfar untuk kedua ibu bapanya, nescaya dosa kedua ibu bapanya akan diampunkan oleh Tuhan.

-Barang siapa membacanya sebanyak 41 kali, pasti akan tercapai segala hajat dan cita-citanya.

-Barang siapa membaca sekali ketika membuka kedai atau perniagaan, nescaya akan maju perniagaannya itu.

-Barang siapa membacanya sekali pada awal malam, andaikata ia mati pada malam itu, mesti ia mati syahid.

-Barang siapa membacanya sekali selepas tiap-tiap sembahyang Jumaat, nescaya ia akan diselamatkan dari siksa kubur.

-Jika dibacanya oleh seorang askar, ketika ia hendak turun kemedan peperangan, Allah akan mengurniakan kepadanya keberanian dan kegagahan, serta naiklah ketakutan pada musuh-musuhnya.


 
Hikmat-hikmat dan khasiat-khasiat surah Yaasiin ini banyak benar didapati di dalam kitab-kitab hadith.

    ISTIQAMAH

    Seorang ulama tasawuf yang amat terkenal iaitu Abu al-Qasim Al-Qushairi pernah berkata:
    "Barangsiapa tidak lurus (tidak istiqamah) dalam halnya sia-sialah usahanya, rugilah tenaganya."







    Hadith riwayat Abu Hurayrah, Rasulullah bersabda, bermaksud: "Hendaklah membetulkan dan mendekatkan (menyesuaikan)."

    Membetulkan atau menetapkan suatu menurut jalannya, tepat sebagaimana yang telah ditentukan serta kena pula pada sesuatu yang dimaksudkan, itulah hakikat istiqamah yang diterangkan pada hadith itu. Sementara itu para ‘ulama’ yang menjelaskan:

    “Bahawa erti istiqamah ialah berusaha membetulkan segala perkataan, perbuatan dan tujuan kearah yang dimaksudkan, sama seperti orang melepaskan anak panah untuk menuju tepat pada sasarannya.”
     
    Sedang erti mendekatkan atau menyesuaikan ialah berupaya menghampirkan sesuatu yang dilakukan kepada yang dimaksudkan. Kedua-dua macam sikap ini perlu ada bagi orang yang beriman yang lurus lagi sentiasa waspada dalam melaksanakan amalnya.
     


    Petikan dari Kitab HADITH 40 bab: Islam, Iman dan Istiqamah (mukasurat 255-256)

    Keengganan Nabi s.a.w menerima tawaran untuk menjadikan bukit-bukit sebagai EmaS.

    Nabi s.a.w. bersabda:

    "Tuhanku telah menawarkan kepadaku untuk menjadikan bukit-bukit di Mekah ini sebagai emas. Aku telah menjawab, ya Allah, aku lebih suka sekiranya aku dapat makan pada suatu hari dan aku berlapar pada keesokannya supaya apabila aku berlapar aku akan merayu dan mengingatiMu dan apabila kenyang aku dapat bersyukur dan memujiMu." (Tirmizi)


    Inilah keadaan peribadi suci Baginda s.a.w. yang kita berbangga kerana menjadi pengikut Baginda s.a.w. dan bermegah-megah menjadi umat Baginda s.a.w. Sememangnya setiap amalan Baginda s.a.w. patut kita ikuti.





    AKU HAIRAN...

    Hafiz Ibnu Hajar rah. menulis di dalam kitabnya Al-Munabbihat tentang satu riwayat daripada Hazrat Uthman ra. tentang tafsir ayat Al-Quran, yang maknanya:

    "Dan di bawahnya ada harta simpanan bagi mereka berdua."


    Iaitu kisah dua orang anak yatim yang harta simpanan untuk mereka berdua ialah satu papan tulis daripada emas yang tertulis tujuh baris ayat yang bererti,


    -Aku hairan terhadap sikap orang yang mengetahui bahawa adanya maut tetapi dia masih berketawa.


    -Aku hairan terhadap sikap orang yang mengetahui bahawa satu hari dunia ini akan binasa tetapi dia masih terpesona kepada dunia.


    -Aku hairan terhadap sikap orang yang mengetahui bahawa segala-galanya berlaku mengikut ketetapan Allah s.w.t. tetapi masih berdukacita di atas kehilangan sesuatu.


    -Aku hairan terhadap sikap orang yang yakin bahawa dia akan dihisab di akhirat nanti tetapi dia masih mengumpul harta kekayaan.


    -Aku hairan terhadap sikap orang yang mengetahui bahawa adanya api neraka tetapi dia masih melakukan maksiat.


    -Aku hairan terhadap sikap orang yang kenal Allah s.w.t. tetapi dia masih mengingati selainNya.


    -Aku hairan terhadap sikap orang yang mengetahui adanya syurga tetapi masih mencari keseronokan dengan kemewahan dunia.


    Terdapat sedikit tambahan dalam sesetengah naskah yang lain iaitu, "Aku hairan terhadap sikap orang yang menganggap syaitan sebagai musuh tetapi masih mentaatinya."

    Sedikit Pencerahan Tentang Dunia Kita Di Akhir Zaman ini...